Monday, 22 August 2016

KITA KEHILANGAN SEORANG PUTERI


JENAZAH ALLAHYARHAMAH DAYANA SYAFIQAH BINTI ZAINUDIN selesai solat jenazah oleh beratus orang di Masjid Al-Itisam Taman TTDi Jaya Shah Alam. 

AL-FATIHAH.

BERAT MATA MEMANDANG, tidak sama berat bahu yang memikul. Betapa hancurnya hati seorang ayah dan ibu kehilangan seorang puteri yang tercinta Dayana Syafiqah Binti Zainudin yang tergelincir dari tebing ketika berkelah di Lata Medang Peretak Kuala Kubu Baru pada 21hb Ogos, 2016. 



BERITA DARI AKHBAR BERITA HARIAN


KUALA KUBU BHARU: Seorang guru wanita sebuah sekolah di Shah Alam maut manakala rakannya cedera selepas terjatuh dari tebing setinggi 10 meter ketika berkelah di Lata Medang, di sini, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Dayana Shafiqah Zainuddin, 24, dari TTDI Shah Alam meninggal dunia akibat cedera parah di kepala, manakala rakannya, Aisyah Farina Zaidi, 24, juga dari TTDI Shah Alam, parah di bahu. 


Kedua-dua mangsa dikatakan pergi ke kawasan air terjun itu bersama tiga lagi rakan mereka yang semuanya berasal dari Shah Alam untuk berkelah sempena cuti hujung minggu.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada jam 1.15 tengah hari untuk kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa. 

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan berada di tepi kawasan air terjun manakala tiga rakan mereka sedang mandi manda. 


"Salah seorang daripada mereka dipercayai tergelincir dan cuba berpaut pada rakannya, namun kedua-duanya terjatuh di kawasan berbatu di air terjun berkenaan. 


"Mereka jatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter ke kawasan air terjun yang berbatu menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah dan seorang daripada disahkan meninggal dunia," katanya kepada BH, tadi. Katanya lagi, anggota bomba turut memberi bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan.


<><><><>